mutakhir

5,739 perwakilan mula bersidang esok

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Lebih 5,739 delegasi perwakilan termasuk tiga sayap utama, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dari seluruh negara akan mula bersidang dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 bermula secara rasmi esok.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap berkenaan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Sebelum itu, pada sebelah petang, semua perwakilan dari seluruh negara akan mendengar taklimat tertutup daripada Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka menyentuh mengenai hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Seperti biasa, perhimpunan tertumpu kepada perbahasan daripada wakil badan perhubungan negeri, sayap dan wakil Kelab UMNO Luar Negara yang akan membahaskan ucapan dasar presiden serta usul ekonomi, agama​ ​dan​ pendidikan.

Selain itu, 51 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara turut mengesahkan kehadiran bersama 350 mahasiswa dari 20 universiti awam dan 50 universiti swasta atas nama Mahasiswa Nasional (PEMANAS).

Edisi kali ini turut menyaksikan 1,795 petugas media daripada 75 agensi media cetak dan elektronik dalam serta luar negara berkampung selama lima hari di PWTC.

Berbanding edisi sebelumnya, petugas media kali ini ditempatkan di Laman Media yang terletak di Aras Empat PWTC.

Tinjauan Harian Metro mendapati ‘perkampungan’ media kali ini ternyata lebih luas dan selesa, selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan elektronik dan infrastruktur moden.

Laman Media turut dilengkapi dengan kemudahan bilik sidang media bagi memudahkan liputan dilakukan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Kawasan tumpuan semua media itu akan dirasmikan Dr Ahmad Zahid, hari ini.

Sementara itu, selain isu perbahasan yang diusulkan perwakilan, tumpuan PAU juga pasti tertumpu kepada kemeriahan karnival jualan yang sudah pun bermula sejak semalam di Dewan Tun Razak 3.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 9:51am
d