mutakhir

30 balai bomba mula beroperasi tahun depan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Sebanyak 30 Balai Bomba dan Penyelamat baru dijangka akan memulakan operasinya pada tahun depan sekali gus memantapkan lagi operasi dan tugas jabatan berkenaan dalam memberi khidmat kepada masyarakat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, selaras dengan pengoperasiannya, bilangan anggota serta aset bomba turut dipertingkatkan berdasarkan peruntukan kerajaan pada Bajet 2018.

Katanya, 960 perjawatan baru diperlukan bagi operasi balai baru itu dan permohonan sudah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penambahbaikan.

“Selain itu, bagi memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus kompetetif menghadapi pelbagai situasi tidak diduga, aset jabatan turut diperkasakan termasuk membekalkan dua unit pesawat baru iaitu helikopter jenis AW189 dilengkapi teknologi canggih bernilai RM100 juta seunit.

“Pada awal tahun depan, JBPM akan menerima secara berperingkat 19 jentera Aerial Ladder Platform berketinggian 37 meter berharga RM4.3 juta seunit untuk operasi di bangunan tinggi,” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, semalam

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 10:01am
d