mutakhir

Upah tetak saingan niaga

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Seorang peniaga parah di bahagian kepala serta tangan akibat ditetak tiga lelaki yang tidak berpuas hati angkara persaingan perniagaan di Bukit Pelandok, Port Dickson, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 32 tahun dikatakan membuka warung menjual makanan dan minuman keras di kawasan terbabit.

Katanya, perniagaan itu mengakibatkan perolehan seorang peniaga berhampiran merosot sebelum lelaki berusia 49 tahun itu mengupah tiga lelaki bagi mencederakannya.

“Suspek membayar RM1,000 dan mengarahkan tiga lelaki dari Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur supaya menetak mangsa. Pada pertemuan 6 petang, mangsa ditetak di kepala dan tangan menggunakan dua parang,” katanya.

Zainudin berkata, pihak polis menerima panggilan mengenai pergaduhan jam 6.05 petang mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, mangsa didapati berlumuran darah manakala tiga suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Camry. Anggota mengejar mereka sehingga ke Plaza Tol Port Dickson-Seremban, berhampiran Rasah, sejauh 25 kilometer,” katanya.

Menurutnya, tiga lelaki berusia 34 hingga 43 tahun itu dicekup dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Sehubungan tangkapan, anggota merampas kereta digunakan, empat telefon bimbit, beg silang, payung dan dua parang. Semakan mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah berkaitan curi kenderaan, rompak, dadah dan mendatangkan kecederaan,” katanya.

Menurut Zainudin, pihaknya membuat tangkapan kedua ke atas peniaga terbabit di premisnya di Bukit Pelandok pada jam 10.15 malam.

“Peniaga ini adalah individu diburu polis bersabit pelbagai kes jenayah. Dia memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya merampas sebuah telefon bimbit, 21 botol minuman keras dan 24 kotak rokok pelbagai jenama.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 10:41am
d