mutakhir

Rogol kekasih bawah umur

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEORANG duda anak dua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua tuduhan merogol kekasih bawah umur antara Mac dan November lalu.

Mohd Fakhrul Bazlie Mohamed Apandi, 33, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 8 bulan di sebuah rumah di Beris Kubur Besar, Bachok antara Mac hingga Oktober lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di lokasi sama jam 1.30 tengah hari, 20 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1), Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan adalah kesalahan serius manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan perubatan.

Difahamkan, mangsa kini hamil lima bulan.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 12:45pm
d