mutakhir

Mengaku dera anak

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas tuduhan mengabaikan dan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anaknya yang berumur 15 bulan pada 22 November lalu.

Nisa, 26, yang juga warga Indonesia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nisa didakwa mengabaikan kanak-kanak berumur setahun tiga bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di rumah No 106, Paya Lahar Kepah di Kepala Batas, 22 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Noor Aini kemudiannya menetapkan 5 Januari hadapan sebagai tarikh penyerahan laporan perubatan, laporan bedah siasat dan jatuh hukum.

Tertuduh yang berbaju hitam tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan mangsa meninggal dunia pada 27 November lalu.

Pada 26 November lalu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, koma selepas mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera ibunya sendiri di rumah mereka.

Kanak-kanak itu bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 27 November lalu.

Berita berkaitan:

Kejam...kejam sungguh!

Kejamnya ibu...

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 1:36pm
d