mutakhir

Bina rumah RM1 juta bersyarat

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KERAJAAN sedia mempertimbangkan permohonan pemaju bagi pembinaan perumahan berharga RM1 juta ke atas bergantung kepada keperluan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, ia susulan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) mengenai keputusan kerajaan membekukan sementara pembinaan perumahan berharga RM1 juta ke atas.

Katanya, kabinet melantik beliau, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang lebih lanjut.

“Di kawasan tertentu iaitu bandar seperti Kuala Lumpur, dengan nilai tanah mencecah ratusan ringgit untuk satu meter persegi, tentunya pemaju memerlukan pembinaan rumah bernilai RM1 juta ke atas.

“Justeru, pembinaan rumah ini hanya dibenarkan mengikut kes sekali gus pemaju perlu membuat permohonan terlebih dulu kepada KPKT,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada 17 November lalu, Johari dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan membekukan sementara pembinaan kondominium dan premis komersial seperti pejabat bernilai RM1 juta ke atas bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.

Langkah pembekuan sementara itu diputuskan kabinet berkuat kuasa 1 November lalu dengan pembinaan rumah mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah digiatkan bagi memastikan rakyat mendapat kediaman.

Selain itu, Johari dipetik berkata, Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai peningkatan hartanah kediaman tidak terjual sebelum ini turut membabitkan kondominium, pejabat dan pusat membeli-belah.

Dalam pada itu, Noh berkata, antara perkara yang diambil kira menerusi pertimbangan itu ialah, keperluan membina rumah berharga RM1 juta ke atas di kawasan tertentu di bandar selain melihat kepada harga pasaran tanah.

“Kita juga melihat jumlah rumah berharga RM1 juta ke atas yang belum terjual serta siapa pembeli bagi rumah berkenaan.

“Mengikut dasar kerajaan, bagi rumah seperti ini dibenarkan untuk dijual kepada warga asing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPKT juga akan menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat kementerian bagi menilai permohonan daripada pemaju untuk pembinaan rumah berharga lebih RM1 juta.

Sementara itu, Noh berkata, pertimbangan permohonan itu hanya membabitkan projek perumahan berkenaan manakala pembekuan sementara untuk pembinaan kompleks membeli-belah dan bangunan pejabat dikekalkan.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 4:38pm
d