mutakhir

'Hilang' rumah sekelip mata

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI kurang upaya (OKU) penglihatan dan isterinya berjaya menyelamatkan diri selepas kediaman mereka musnah dijilat api kira-kira 1.30 petang semalam di Parit Warijo Lintang, Sri Medan, Batu Pahat.

Pasangan berkenaan, Asral Abd Karim, 82, dan Saleha Sakar, 75, berkata, kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, di rumah kayu yang diduduki sejak lebih 20 tahun lalu itu.

“Saya baru sahaja selesai solat Zohor dan berehat di ruang tamu di bahagian tengah rumah manakala isteri mengemas di dapur selepas menyediakan makan tengahari.

“Isteri melihat percikan api yang kemudiannya membesar pada lampu kalimantang. Dia cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Saya meraba-raba untuk keluar dari rumah dan mengengsot ke pintu depan tetapi berkunci dan berpatah balik menuju pintu dapur sebelum diselamatkan isteri,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mereka kehilangan tempat tinggal dan kini menumpang sementara di rumah jiran dan bakal berpindah ke rumah anak mereka selepas ini.

“Anggaran kerugian tidak dapat dipastikan melainkan ada beberapa barangan kemas milik isteri yang hangus selain wang tunai yang terbakar,” katanya yang bersyukur kerana mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bailtulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sudah maklum dan bakal memberi bantuan sewajarnya kepada pasangan berkenaan.

“Saya harap untuk kejadian bencana seperti ini, pihak Baitulmal dapat mempercepatkan kelulusan pembinaan rumah baru kerana berdasarkan beberapa kes sama di kawasan Parlimen Parit Sulong sebelum ini, kelulusannya tertangguh melebihi setahun.

“Keadaan ini amat menyusahkan mangsa yang dalam kesusahan selain Baitulmal perlu mencari kaedah terbaik bagi memastikan ada piagam pelanggan termasuk tempoh menunggu yang tidak lama untuk rumah disiapkan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Zulkurnain turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas selain sumbangan wang tunai peribadi bagi meringankan beban mangsa.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 6:17pm
d