mutakhir

Tumpu suara, denyutan nadi rakyat

Oleh BERNAMA

PERWAKILAN harus menumpukan kepada suara dan denyutan nadi rakyat ketika perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2017 selama lima hari bermula hari ini.

Itu adalah pesanan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti dalam satu perjumpaan tertutup di Kuala Lumpur dengan perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar presiden dan tiga usul utama iaitu ekonomi, agama dan pendidikan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahmad Zahid berpesan agar semua jurucakap dan pembahas menggunakan kesempatan dan platform itu menyuarakan isu termasuk masa depan negara.

“UMNO tidak boleh tercabut daripada suara hati dan denyutan nadi rakyat. UMNO harus terus menjadi penyambung kepada lidah perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tertutup itu.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga berpesan agar usul yang akan dibahaskan nanti dapat mengukuhkan lagi solidariti dan kekuatan anggota serta pendukung parti dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jurucakap harus memainkan peranan menyemarakkan obor-obor idealisme dan semangat perjuangan UMNO kerana parti tunjang Barisan Nasional ini telah tujuh dekad berada di persada perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

“Adalah penting bagi jurucakap dan wakil menyemarakkan dan menyuburkan idealisme supaya ia bukan hanya didakap anggota parti di dalam dewan tetapi kepada rakyat secara keseluruhannya,” kata Asyraf Wajdi.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, semua pembahas pada perhimpunan itu harus memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menyuarakan isu yang dekat di hati rakyat dan bukan hanya mengejar populariti semata-mata.

“Pemilihan sebagai pembahas adalah satu penghormatan sepanjang menjadi pemimpin UMNO dan tidak semua bertuah untuk mendapat peluang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Naib Presiden UMNO bersama-sama anggota perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Ditanya mengenai harapannya terhadap Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO esok, Mas Ermieyati berkata, pembahas perlu memberi fokus kepada isu berkaitan wanita muda seperti kos sara hidup, perumahan dan pengangguran serta membincangkan usaha untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seramai 994 anggota perwakilan Wanita, 992 anggota perwakilan Pemuda dan 992 anggota perwakilan Puteri UMNO akan bersidang secara serentak esok dengan Ahmad Zahid dijadual merasmikan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap itu malam ini.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 6:33pm
d