mutakhir

300 keluarga terima sumbangan

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

SERAMAI 300 keluarga yang terjejas banjir di Pasir Mas menerima sumbangan daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima dalam bentuk barangan dapur dan keperluan pembersihan, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Mohamad Farris Affendy Md Salim dan disertai lapan Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP).

Bantuan barangan keperluan seperti beras, minyak masak, air mineral dan serbuk pencuci disampaikan kepada mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Arab (SMA) (Qariah) Banggol Setol, di sini.

Beliau berkata, sumbangan yang diberikan itu adalah hasil kutipan Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang disalurkan oleh orang ramai bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

"Kita menyerahkan sumbangan kepada 204 keluarga yang terjejas banjir yang masih tinggal di PPS.

"Baki selebihnya akan diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah kepada mangsa banjir yang sudah pulang ke rumah mereka," katanya ketika ditemui di PPS SMA (Qariah) Banggol Setol, di sini, hari ini.

Mohamad Farris Affendy berkata, pihaknya sudah menyerahkan sumbangan di beberapa negeri yang terjejas banjir antaranya Pulau Pinang, Sabah, Perlis dan Kedah.

"Sumbangan kali ini adalah untuk permulaan di Kelantan terutamanya daerah Pasir Mas dan pada masa akan datang, kita akan sampaikan bantuan kepada daerah lain yang terjejas," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Junuh Abdullah, 64, dari Kampung Lubuk Nibong, berterima kasih kepada Media Prima atas sumbangan yang diberikan.

Katanya, sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak akan meringankan beban yang ditanggung akibat banjir.

"Pak cik sudah boleh pulang ke rumah hari ini kerana air sudah surut dan pemberian ini akan digunakan sebaik mungkin," katanya.

PPS SMA (Qariah) Banggol Setol sebelum ini menempatkan seramai 1,448 mangsa banjir daripada 10 kampung antaranya Mengkirim, Chenerai, Jeram Perdah, Bukit Lata dan Lumpur.

Kebanyakan mereka sudah pulang ke rumah dan kini tinggal 204 keluarga yang masih tinggal di PPS terbabit.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 8:44pm
d