mutakhir

Skuad SPAM dekati anak muda

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan jentera penerangan Pemuda UMNO, Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Skuad berkenaan dianggotai 280 anggota pelbagai latar belakang termasuk pemidato, penceramah agama dan pengendali media sosial yang bertanggungjawab memberi penjelasan kepada generasi muda berkaitan isu semasa.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar berkata, jika mereka hanya mendekati anak muda yang menganggotai UMNO, jumlahnya hanya dalam lingkungan 1.9 juta pengundi.

“Secara keseluruhan, dianggarkan ada (kira-kira 15 juta pengundi) yang tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Jadi, mereka (anggota SPAM) dilengkapkan dengan pengetahuan berkaitan isu semasa dan mampu bercerita serta duduk bersembang dengan anak muda dalam kumpulan kecil atau besar di mana-mana saja,” katanya kepada media pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 9:56am
d