mutakhir

Curah ilmu muzik pada usia muda

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Walaupun usianya baru menjengah 20 tahun, namun bakat serta minat mendalam dalam bidang muzik menjadikan gadis ini antara tenaga pengajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

Sempena penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) yang bermula semalam, gadis itu bersama beberapa pelajar sekolah itu tidak melepaskan peluang menonjolkan bakat terutamanya dalam bidang muzik.

Gadis itu, Atikah Nazrun Saila, 20, mengakui, dia adalah bekas pelajar sekolah itu dan menjadi tenaga pengajar dalam bidang muzik sejak dua tahun lalu.

“Sudah dua tahun saya menjadi tenaga pengajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Saya memang minat muzik dan inilah bakat yang saya miliki. Jadi, saya kira rugi jika tiada sumbangan untuk adik-adik di sekolah berkenaan.

“Sebenarnya, ramai pelajar sekolah ini yang mempunyai bakat serta kemahiran, namun tidak tahu cara atau platform untuk menonjolkan bakat yang ada,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, semalam.

Menceritakan kisahnya, Atikah Nazrun berkata, dia sebelum ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri memandangkan ibunya berasal dari Thailand, manakala bapanya berasal dari Kelantan.

Namun, dia berkata, perkara itu tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dan ia bukanlah satu penghalang untuknya.

“Kebiasaannya, kami akan bermain muzik di festival kenduri kahwin dan busking di sekitar Kuala Lumpur. Ia sebahagian cara untuk menzahirkan bakat kami.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sudi menyediakan platform untuk kami bermain muzik dan membuat persembahan,” katanya.

Menurutnya, ramai remaja atau kanak-kanak jalanan ini mempunyai bakat, namun tidak tahu kaedah yang sesuai untuk menonjolkan kemahiran mereka.

“Alhamdulillah, masih ada pihak yang sudi memberi kami ruang bukan saja untuk mempamerkan bakat seni, tetapi ruang untuk kami memperbaiki kehidupan sama seperti orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 9:58am
d