mutakhir

Platform tunjuk bakat pelajar [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Menonjolkan bakat seni dalam kalangan murid serta pelajar menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) yang bermula semalam.

Urusetia Pameran KPM Mohd Amir Khusairi Harun berkata, edisi PAU2017 kali ini akan disertai beberapa pelajar yang berbakat seperti dalam bidang muzik serta lukisan.

“Pelajar ini kita bawa khas dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur dan kita mahu menonjolkan mereka bukan saja aspek pembelajaran tetapi bakat yang dimiliki.

“Kebanyakan mereka berbakat dalam pelbagai bidang, namun tiada platform untuk menunjukkan kemahiran mereka, jadi sempena PAU2017 ini kita tampilkan bakat mereka,” katanya.

Mohd Amir Khusairi berkata, setiap tahun KPM tidak pernah gagal untuk menyertai pameran sempena PAU2017 dan kali ini kita memberi sedikit kelainan iaitu memperlihatkan bakat pelajar.

Menurutnya, ruang pameran KPM juga menyediakan banyak maklumat kepada orang awam terutama berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang sudah memasuki gelombang kedua.

“Orang awam boleh menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan di ruang pameran kami. Selain itu, mereka boleh mendapatkan penerangan berhubung agenda pendidikan negara daripada pegawai bertugas.

“Ini sebahagian inisiatif kita untuk memberi penerangan kepada umum. Kita mahu semua peringkat masyarakat memahami aspirasi serta agenda pendidikan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai juga boleh memberi sumbangan menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

“Selain bantuan daripada KPM, tabung ini juga dapat menyantuni golongan yang pelajar miskin. Kita bukan saja menyediakan sumbangan tabung, tetapi boleh membuat potongan bulanan,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 10:00am
d