mutakhir

'Jangan tambak saje...'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Menambak pantai berikutan ombak besar di Mengabang Telipot antara langkah wajar bagi menyelesaikan masalah hakisan tetapi pada masa sama, ia membunuh kegiatan nelayan di kawasan berkenaan berikutan ketiadaan tempat meletakkan bot.

Sehubungan itu, lebih 100 nelayan di pantai berkenaan berharap pihak bertanggungjawab bukan sekadar menambak pantai tetapi membina lagun bagi memastikan kesinambungan kegiatan nelayan.

Nelayan, Shaari Abdullah, 57, dari Kampung Kolam berkata, walaupun langkah menambak pantai berkenaan amat baik, kesan pembinaan menjejaskan nelayan yang tidak dapat menjalani kegiatan seperti biasa kerana ketiadaan kawasan mendaratkan bot.

“Pondok nelayan saya juga musnah dipukul ombak Oktober lalu, justeru pembinaan tambak di pantai ini memang wajar dan langkah bijak dalam menangani masalah hakisan.

“Sebab itu, kami pohon jasa baik kerajaan negeri untuk teliti semula dan bina lagun seperti di Pantai Tok Jembal,” katanya, di sini, semalam.

Shaari berkata, ketiadaan tempat meletakkan bot memaksa lebih 30 nelayan dari kampung itu mendaratkan bot nelayan masing-masing di Lagun Pantai Tok Jembal.

“Kami tak ada masalah ke Pantai Tok Jembal bagi mendaratkan bot, tetapi kebiasaanya kawasan lagun di pantai itu penuh.

“Lagun Pantai Tok Jembal tidak mampu menampung jumlah nelayan yang terlalu ramai di kawasan berkenaan, sekali gus menyebabkan sebahagian nelayan yang tiada tempat mendaratkan bot menghentikan kegiatan mereka,” katanya.

Rakannya, Jaafar Din Abdullah, 61, berharap lagun disediakan di pantai itu bagi kemudahan semua termasuk penduduk yang ingin bersantai di pantai.

“Apabila tambak dibina, ia akan menyebabkan pantai terjejas, sekali gus kawasan berkelah dan mandi juga terhad.

“Lagun di kawasan pantai memberi manfaat kepada semua dan paling penting memberi kemudahan kepada nelayan menjalankan kegiatan mereka,” katanya.

Menurut Jaafar, lazimnya ombak besar berlaku pada awal Januari, jadi tembok perlu disiapkan segera bagi menghalang hakisan pantai yang melangkaui 100 meter sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Datuk Basir Ismail berkata, kerja menambak sementara giat dijalankan sejak dua minggu lalu di kawasan berkenaan bagi menghadapi kemungkinan fenomena air pasang dan ombak besar.

“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM500,000 untuk menambak sementara pantai itu pada musim tengkujuh bagi memastikan kawasan pantai tidak terhakis.

“Kami maklum permintaan nelayan yang mahu kawasan lagun di pantai itu dan mereka perlu bersabar kerana kegiatan menambak pantai hanya bersifat sementara. Manakala kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran ada perancangan lebih baik secara berperingkat,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 10:27am
d