mutakhir

Diberkas bunuh janda

8Ekhwan Haque Fazlul Haque

ekhwan@hmetro.com.my

SEORANG lelaki berusia 25 tahun ditahan polis semalam selepas dipercayai membunuh teman wanita yang mayatnya ditemui diikat dalam guni di Sungai Kampung Pulau Melayu, Miri, Sabtu lalu.

Suspek ditahan kira-kira jam 7.30 pagi di Pusat Komersial Pelita, Miri oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek dipercayai membunuh mangsa berusia 52 tahun yang juga janda anak empat.

Menurutnya, kejadian dipercayai bermotifkan hutang, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Polis percaya suspek membunuh mangsa dalam Proton Iswara yang dirampas daripada suspek,” katanya di Miri, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Mukah pada 3 Disember lalu mengenai kehilangan wanita itu yang tidak pulang ke rumah sejak 27 November.

Menurutnya, hasil pengecaman dilakukan ahli keluarga terhadap pakaian dipakai mangsa ketika mayat ditemui juga positif.

“Suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sabtu lalu, mayat seorang wanita yang diikat dan disumbat dalam guni ditemui hanyut di Sungai Kampung Pulau Melayu oleh nelayan, kira-kira jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:11am
d