mutakhir

Kata-kata terakhir penuh emosi Faez

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Buat baik dengan orang ni tak susah, cuma berkorban sikit je. Mana tahu orang yang kita korbankan itulah yang akan uruskan jenazah kita bila kita dah tiada nanti.” Itulah antara kata-kata terakhir Allahyarham Muhammad Faez Salahuddin, 16, yang ditemui lemas di kawasan Paya Biru FELDA Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, dekat sini, awal pagi semalam.

Ayat penuh emosi dan syahdu itu dikongsikan Allahyarham kepada rakannya menerusi media sosial Instagram dan aplikasi WhatsApp hanya beberapa jam sebelum lemas ketika mandi bersama mereka dalam kejadian jam 4 petang kelmarin.

Rakan mangsa Muhamad Fakhri Haziq Abdul Rahim, 16, berkata dia bersama rakan merancang pergi ke pusat rekreasi itu pada saat akhir dengan arwah.

Katanya, mereka berlapan berkonvoi menaiki empat motosikal ke pusat rekreasi itu dan tiba jam 3.30 petang kerana berhenti makan ketika dalam perjalanan.

“Ketika tiba keadaan hujan gerimis, namun ada orang mandi di situ. Selepas melihat ada orang mandi, kami berpendapat kawasan itu selamat dan terus bersiap-siap menukar baju dan mandi pada jam 4 petang.

“Apa yang kami pelik, tidak ada seorang pun bagi amaran supaya jangan mandi di kawasan tengah dan apabila salah seorang kawan kami pergi ke kawasan itu, diikuti rakan-rakan lain, ketika itulah beberapa orang mula terkapai-kapai meminta tolong.

“Melihat keadaan getir, saya menarik seorang rakan dan pada masa sama, cuba membantu rakan lain. Ketika kelam-kabut, saya tidak perasan kedudukan arwah tetapi diberitahu arwah, berada di tebing dengan air di paras dada,” katanya di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin, di sini, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 2, di sini, berkata mereka menyangka arwah berada dalam keadaan selamat kerana ketika itu masing-masing sedang bergelut untuk menyelamatkan nyawa sendiri.

Katanya, kali terakhir arwah dilihat dalam keadaan tersenyum dengan paras air di dadanya, sebelum hilang daripada pandangan mereka.

“Selepas masing-masing berjaya menyelamatkan diri, barulah kami sedar arwah tiada di tempat kali terakhir dia dilihat. Kami cuba mencarinya selama seminit sebelum terus menghubungi bomba kerana tidak mahu membuang masa,” katanya.

Berita berkaitan

Sembilan jam cari Faez

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:37am
d