mutakhir

Mesti menang!

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

Unit Foto NSTP

PERANG mesti menang. Itu laungan bergema dan semangat ditunjukkan perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

'Semboyan' dilaung Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil disokong 973 perwakilan wanita daripada 191 bahagian seluruh negara dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017).

Shahrizat berkata, wanita UMNO yang digelar Ibu Terbaik Bangsa belum pernah ada dalam sejarah untuk menyerah kepada musuh.

"Tujuh puluh tahun lalu, tangan inilah (wanita) yang meleraikan gelang emas demi sebuah kemerdekaan, kaki inilah yang melangkah bersama sekeping peta dan sehelai bendera ke seluruh pelusuk desa.

"Selagi wanita adalah wanita, selagi itu UMNO tidak tumbang dan Melayu tidak akan hilang," katanya dalam ucapan dasar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dalam menghadapi era politik millenia, wanita UMNO berpegang kepada empat tunjang bagi meraih undi dengan bijak mengambil peluang.

"Tunjang pertama iaitu pedang keberanian yang bukan diukur pada panjangnya pedang tetapi bagaimana cara kita menghunusnya, jangan kita takut kepada apapun kekuatan lawan dan percayalah kepada pedang yang kita miliki.

"Seterusnya, perisai kesetiaan sebagai benteng pertahanan dalam mendepani peperangan politik apabila parti diasak kesetiaanlah menjadi perisainya. Tunjang ketiga adalah bahtera satria yang dipimpin satu nakhoda pasti akan temui destinasi kemenangan," katanya.

Shahrizat berkata, tunjang keempat adalah strategi perang yang menjadi penentu kemenangan.

"Strategi politik era milenia tidak akan sama dengan perang politik sebelum ini, kita harus ke depan dengan yakin dan bijaksana.

"Wanita yang saya ketuai bukan hanya berjuang di bandar dan desa tetapi juga di alam maya seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan Whatsapp yang jadi senjata kita lawan fitnah pembangkang," katanya.

Seperti PAU sebelum ini, Shahrizat terus mendesak kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional memberikan kuota 30 peratus kepada calon wanita dalam (PRU14).

"Bersesuaian dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang mengatakan 2018 menjadi tahun Malaysia memperkasakan wanita.

"Memperkasakan wanita ini berlaku di seluruh dunia dan sudah tiba masa kerajaan mempertimbangkan peranan wanita dalam politik dan ekonomi," katanya.

Berita berkaitan:

Perhimpunan Agung UMNO 2017

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 1:41pm
d