mutakhir

Pengantin baru 'tokan' dadah

Oleh Essa Abu Yamin

PASANGAN pengantin baru antara empat individu yang ditahan polis apabila berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas 24 ketulan ganja mampat di sebuah rumah di Jalan Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dalam serbuan itu, pasangan pengantin berusia 26 dan 24 tahun ditahan selepas polis menemui 24 ketulan ganja mampat yang disembunyikan dalam tiga kotak berasingan di bilik mereka.

“Pasangan berkenaan baru mendirikan rumahtangga, Oktober lalu dan melangsungkan majlis resepsi minggu lalu di Rengit.

“Kami turut menahan dua lagi suspek iaitu adik perempuan dan sepupu pengantin lelaki yang masing-masing berusia 24 dan 23 tahun.

“Pengantin lelaki itu adalah suspek utama dan dipercayai ketua sindiket Geng Doyok yang aktif mengedar ganja sejak tujuh bulan lalu untuk pasaran daerah ini dan Pontian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Menurutnya, 24 ketulan ganja mampat yang dibalut plastik lut sinar itu seberat 23.7 kilogram dan dianggarkan bernilai RM72,000.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki iaitu pengantin lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori serta sepupunya positif dadah dan berdasarkan siasatan, keempat-empat suspek tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah Proton Wira dan wang tunai RM300 milik suspek utama dan dalam usaha mengesan akaun bank milik semua suspek terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Beliau berkata, keempat-empat suspek kini direman hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami percaya ganja berkenaan diperoleh dari Thailand yang diseludup masuk dan diedarkan di sini.

“Dengan penahanan empat suspek serta rampasan 24 kilogram ketulan ganja mampat itu, ia antara kejayaan terbesar IPD Batu Pahat sepanjang tahun ini selepas lima bulan risikan dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 1:54pm
d