mutakhir

Reman anak saudara MB disambung tiga hari [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

TEMPOH reman dua individu membabitkan anak saudara Menteri Besar Selangor dan seorang pengarah syarikat disambung tiga hari lagi hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kegiatan perlombongan pasir serta batu haram di negeri berkenaan pada 2014.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, dua lagi individu iaitu pengurus tapak berusia 45 tahun dan seorang lagi pengarah syarikat, 41, dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM).

Masing-masing dijamin RM10,000 serta RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Anak saudara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga pekerja syarikat pengiklanan berusia 34 tahun diwakili peguam Gobind Singh Deo, manakala dua pengarah syarikat yang juga anak beranak berusia 67 tahun dan 41 tahun diwakili Azad Bashir.

Pengurus tapak berusia 45 tahun pula diwakili Tina Ong.

Gobind ketika ditemui berkata, SPRM meminta tempoh reman disambung tujuh hari lagi namun Norhidayati hanya membenarkan tiga hari.

Sebelum ini, keempat-empat individu berkenaan direman tujuh hari bermula 30 November lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Pada 30 November lalu, media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun syarikat berjumlah kira-kira RM4 juta selepas menahan individu dipercayai ada kaitan dengan kegiatan perlombongan pasir dan batu haram di Kajang, Selangor.

Difahamkan, pada operasi itu, pasukan penyiasat SPRM memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram, jam 10 pagi, 29 November lalu.

Syarikat perlombongan itu dikatakan merasuah penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan terbabit.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 3:16pm
d