mutakhir

Berterabur beras

Oleh Rosli Ilham

SEBUAH lori terbalik menyebabkan muatan beras dibawa bertaburan di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di KM 68.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di persimpangan Tanjung Jara Resort, dekat Dungun, hari ini.

Kemalangan jam 11 pagi itu menyebabkan pemandu MPV, Zubir Muda, 51, dari Kampung Sura Jeti, parah di bahagian rusuk dan badan manakala isterinya, Norizah Sulaiman, 47, dan dua anak mereka, Muhammad Syahir Zubir, 17, serta Nurul Munirah Zubir, 8, cedera.

Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Pemandu lori, Mohammad Hafiz Mohd Nor, 28, dan kelindannya, Muhammad Hairi Mohd Hashim, 29, juga cedera dan dihantar ke hospital sama.

Dipercayai, kemalangan berlaku apabila MPV jenis Hyundai Starex dipandu Zubir dari arah simpang Tanjung Jara Resort, keluar menuju jalan utama sebelum lori yang sarat dengan muatan beras, tepung gandum dan barangan runcit itu datang dari arah Kuala Terengganu dan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbalik manakala muatan beras dan barangan runcit lain bertaburan di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Anggota polis dan orang ramai membantu mengalihkan barangan terbabit bagi melancarkan aliran lalu lintas yang sesak akibat insiden itu," katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 6:11pm
d