mutakhir

Harapan tinggi kepada Wanita UMNO

Oleh BERNAMA

TEPUKAN dan sorakan gemuruh para perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bergema sebaik sahaja Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memasuki Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Laungan “Kami sokong hang” dan “We love PM”, “Hidup Najib” terus bergema dalam kalangan lautan merah putih itu.

Berpakaian sut hitam, Perdana Menteri kelihatan ceria bersama Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada kira-kira 1,000 perwakilan.

Dengan nada berseloroh, Najib berkata, “Saya cuma nak kata bahawa saya cukup senang hati dengan Wanita UMNO. Saya memang meletakkan harapan setinggi gunung pada Wanita UMNO”.

“Saya menghargai peranan wanita. Sebab itu, kalau kita menang besar (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), kita akan pinda Perlembagaan negara, kita khaskan 30 peratus (Ahli) Dewan Negara kepada wanita.

“Saya nak kita semua bekerja kuat supaya boleh menang besar,” katanya.

Najib juga menyampaikan Anugerah Ibu Terbaik Bangsa Peringkat Kebangsaan kepada bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha Ismail selain menyampaikan sumbangan kepada pewaris ketua-ketua Wanita UMNO bahagian yang meninggal dunia baru-baru ini termasuk Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun yang juga Exco Wanita UMNO Datuk Maznah Hamid.

Presiden UMNO itu juga melancarkan buku ‘Ibu Terbaik Bangsa’, terbitan Wanita UMNO yang bertujuan memberi perspektif baharu untuk lebih mengenali dan memahami perjuangan pergerakan berkenaan selama ini.

Sebelum itu, pemimpin nombor satu negara juga meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau sesi perbahasan Pergerakan Puteri UMNO.

Ketibaan beliau disambut Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Walaupun mempunyai jadual yang ketat, Najib sempat beramah mesra, bersalaman dan memenuhi permintaan berswafoto daripada para perwakilan.

Najib juga menyampaikan Anugerah Ikon Wanita Muda kepada enam penerima yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk sukan, keusahawanan, kajian dan penyelidikan, agama serta seni.

Selain itu, beliau juga menyampaikan Anugerah Khas kepada Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Rompin, Wan Noraini Zainurian yang juga orang kurang upaya (OKU) atas kecemerlangannya dalam sukan badminton.

Najib turut meninjau sesi perbahasan Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Tun Hussien Onn di sini.

Ketibaan beliau mencuri tumpuan para perwakilan yang sedang menumpu perhatian kepada Ketua Pemuda UMNO Baling Mohamed Noor Mohamed yang membahaskan soal ekonomi digital.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 6:55pm
d