mutakhir

TKHM Khas 'Kembali Ke Sekolah' Sabtu ini

Oleh Saipul Adli Mohamad

Seramai 200 murid dan pelajar akan menerima sumbangan kelengkapan persekolahan percuma menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas 'Kembali Ke Sekolah' di Dewan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Permatang Pasir, Bukit Mertajam pada Sabtu ini.

Mereka membabitkan 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir dan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir terdiri daripada anak yatim, keluarga miskin serta mangsa bencana banjir besar yang melanda Pulau Pinang awal bulan lalu.

TKHM adalah program tanggungjawab sosial korporat akhbar Harian Metro yang kali ini bekerjasama dengan Giant Hypermarket untuk mendekati serta membantu golongan memerlukan di SPT termasuk mengadakan jamuan makan tengah hari bersama kira-kira 600 orang membabitkan murid, pelajar, ahli keluarga mereka serta komuniti setempat.

Pengarang Eksekutif Rencana/Pengeluaran HM merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, TKHM membabitkan tiga konsep iaitu TKHM Bulanan apabila sukarelawan pihaknya mengunjungi dan memberi sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik yang kisah mereka disiarkan menerusi ruangan 'Metro Prihatin' di Harian Metro.

Beliau berkata, selain itu TKHM Ramadan diadakan pada Ramadan untuk membantu anak yatim, ibu tunggal serta golongan miskin di kawasan terpilih apabila sukarelawan TKHM mengadakan gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa, membawa anak yatim membeli pakaian untuk menyambut Aidilfitri serta menyumbang barangan keperluan kepada golongan miskin.

"TKHM Khas pula diadakan untuk membantu komuniti selepas bencana, musim perayaan atau program istimewa seperti 'Kembali Ke Sekolah' dan pada Sabtu ini, kami akan menyediakan pengangkutan untuk membawa 100 murid dan 100 pelajar terbabit membeli kelengkapan persekolahan di Giant Hypermarket, Prai dengan bajet RM100 seorang.

"Selepas itu, mereka dibawa semula ke Dewan PPD SPT untuk majlis penyerahan kelengkapan persekolahan terbabit dan menikmati jamuan makan tengah hari bersama keluarga serta komuniti setempat.

"Program ini diharap dapat membantu menyediakan keperluan asas kepada mereka sebelum memulakan sesi persekolahan baru, sekali gus meringankan beban ibu bapa atau penjaga mereka selepas dilanda banjir dan pada masa sama, mengeratkan hubungan Harian Metro serta Giant bersama penduduk sekitar," katanya.

Othman berkata, pada petang Jumaat iaitu sebelum TKHM Khas 'Kembali Ke Sekolah' bermula, sukarelawan TKHM bersama sukarelawan Giant akan bergotong-royong membersihkan Pusat Tahfiz Darul 'Ulum Al-Islamiyyah Al-Banuriyyah (Lilbanat) di Jalan Permatang Nibong, Kampung Pertama di Permatang Pauh yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira satu meter, awal bulan lalu.

Beliau berkata, program gotong-royong itu dijangka bermula jam 3 petang dan pihaknya akan melaksanakan beberapa tugasan seperti memotong rumput, membersihkan longkang tersumbat, menyapu sampah, membuang perabot dan peralatan rosak serta menyusun semula barangan di dalam pusat tahfiz itu.

"Saya difahamkan tahfiz ini membabitkan 30 pelajar perempuan dan buat masa ini, mereka dibenarkan bercuti bersama waris sehingga diberitahu kelak berikutan keadaan tahfiz masih belum tersusun selepas dilanda banjir besar itu.

"Sudah pasti, sukarelawan kami bersedia dan gembira untuk melaksanakan tugas membantu mangsa banjir, sekali gus menyempurnakan program CSR di tahfiz berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:56pm
d