mutakhir

SPRM tahan anggota polis

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

ANGGOTA polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada guru agama.

Lelaki yang juga Koperal berusia 49 tahun itu ditahan pada 9.30 malam di pusat membaiki dan servis kereta di Kulai, Johor.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kontinjen Johor ditahan selepas disyaki meminta wang rasuah pada 3 Disember lalu dan menerima RM3,000 daripada pengadu semalam (6 Disember).

Perbuatan terbabit dipercayai untuk tujuan menyelesaikan siasatan berhubung satu kes dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD itu yang membabitkan pengadu.

Tangkapan suspek itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat menjalankan penggeledahan di dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 12:13am
d