mutakhir

Diserbu, dikejut, dikepung

Oleh Iskandar Shah Mohamed

LEBIH enam ratus pendatang asing tanpa izin (pati) tergamam apabila diserbu dan dikepung Jabatan Imigresen di Setia Alam, Shah Alam.

Ops Ikrar lima jam itu dijalankan sepasukan 138 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, pada tengah malam semalam.

Operasi khas itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Omran Omar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dua minggu mengenai kewujudan Pati di kawasan rumah kongsi berkenaan.

“Ketika serbuan, beratus warga asing itu sedang tidur dan dikejutkan. Kita kepung kawasan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.

“Ada beberapa warga asing sempat melarikan diri ke semak samun di belakang rumah kongsi terbabit,” katanya yang turut menyertai operasi itu.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas 632 warga asing di penempatan itu.

“Hasil pemeriksaan itu kemudian menahan 202 lelaki Indonesia, Bangladesh (24), Vietnam (6) dan Myanmar (5).

“Selain itu, 72 wanita Indonesia dan masing-masing seorang wanita Myanmar dan Vietnam selain dua kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya memaklumkan semua mereka berusia 22 hingga 47 tahun.

Kata Omran, rata-rata Pati itu dikesan melakukan kesalahan tiada pas yang sah selain tamat tempoh dan memiliki atau menggunakan pas yang dipinda.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka dihantar ke pejabat Bahagian Penguatkuasa di Shah Alam bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 8:37am
d