mutakhir

Ceria usul didengari PM

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Tanpa berselindung, Puteri UMNO mengakui ceria apabila beberapa usul wanita muda yang menjadi keprihatinan mereka dalam memperkasakan wanita muda di negara ini didengari dan direalisasikan Perdana Menteri menerusi Pembentangan Bajet 2018, baru-baru ini.

Ketua Puteri UMNO Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa cadangan diketengahkan seperti Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM 50), penambahan peruntukan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), peruntukan untuk usahawan muda, dana generasi muda membuat pinjaman, penambahan taska serta kemudahan untuk ibu mengandung antara perjuangan sayap itu demi memperkasakan lagi wanita di negara ini.

“Puteri UMNO memberi komitmen tinggi kepada kerajaan untuk bersama-sama menjayakan objektif Bajet 2018.

“Ini kerana pemerkasaan wanita berkait rapat dengan pengukuhan institusi kekeluargaan kerana keluarga bukan saja tunjang kepada pembangunan peribadi malah mekanisma terawal dalam pembentukan masyarakat serta negara yang sejahtera,” katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Puteri UMNO di PWTC, semalam.

Tambah Mas Ermieyati, pihaknya melihat keupayaan wanita dalam dunia usahawan juga boleh ditingkatkan lagi dengan pelbagai usaha berterusan kerajaan.

Kata beliau, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan seperti MyWin, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) jelas dapat memberi bantuan kepada usahawan wanita yang memerlukan.

Menyentuh mengenai ruang kepemimpinan di sektor kerajaan pula, beliau berkata, sasaran 30 peratus kuota golongan wanita sebagai pembuat dasar dicapai.

“Namun, apabila Perdana Menteri mengumumkan Bajet 2016 untuk memfokuskan kepada pemerkasaan wanita, maka kita menyeru pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun supaya bersama-sama merealisasikan hasrat berkenaan.

“Puteri (UMNO) menyambut baik usaha kerajaan untuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita kerana usaha berkenaan pasti mewujudkan keseimbangan antara gender apabila soal populasi wanita diambil kira,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, PWTC.

Sementara itu, beliau berjanji tidak akan merajuk jika wakil pergerakan itu tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Kata Mas Ermieyati, keanggotaan Puteri UMNO kini berjumlah 390,843 orang, namun mereka tidak mendesak sebarang pemilihan calon cuma mengharapkan supaya pemilihan calon turut mengambil kira wanita dan orang muda.

Kata beliau, Puteri UMNO akan terus bekerja untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Puteri tidak akan merajuk, Puteri tidak akan bergasak, Puteri janji tidak tutup bilik gerakan,

“Kita yakin Presiden (UMNO) mempunyai metodologi tersendiri dalam memilih calon pada PRU14, yang memiliki sifat ‘WLWC’ iaitu ‘Winnable, Likeable, Workable dan Capable’.

“Pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik demi kemenangan dua pertiga majoriti BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 9:20am
d