mutakhir

Ajal pulang dari pemeriksaan di hospital

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Seorang warga emas yang dalam perjalanan pulang selepas menjalani pemeriksaan di hospital, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan lori di Kampung Bendang Luas di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 10.15 pagi itu menyebabkan Rozlan Mohd Yunus, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius.

Isterinya, Wan Ruslini Wan Jaafar, 45, berkata, arwah dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Kedai Geting, Pengkalan Kubor selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

“Dia mempunyai penyakit hati dan perlu menjalani pemeriksaan darah di HRPZ II. Arwah keluar rumah pada jam 8.30 pagi,” katanya.

Wan Ruslini berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan arwah suaminya meninggal dunia selepas melanggar lori, malah sukar menerima kenyataan. Suaminya baik dan bapa penyayang kepada anak mereka.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 9:32am
d