mutakhir

Pungut angka nikah, cerai

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Jabatan Perangkaan kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara bagi mengeluarkan statistik khusus berkaitan data pernikahan dan perceraian rakyat Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jika ia berjalan lancar, statistik berkenaan dijangka dapat dikeluarkan menjelang akhir tahun depan, sekali gus menjadi rujukan penting pelbagai pihak bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Beliau berkata, buat masa ini, tiada sebarang data dan statistik khusus dikeluarkan bagi memaparkan gambaran sebenar institusi kekeluargaan di negara ini sebaliknya hanya bergantung kepada kajian yang tidak menyeluruh.

“Kami mempunyai data lengkap bagi pasangan bukan Islam yang diperoleh menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kini hanya menunggu data pasangan Islam daripada JAIN saja untuk dikumpulkan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih, Malaysia 2017 di sini, semalam.

Program berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Suriani Ahmad.

Katanya, statistik berkenaan akan memaparkan berapa lama tempoh sesuatu perkahwinan itu boleh bertahan kerana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi dan sosial negara.

Mohd Uzir berkata, bersasarkan statistik utama yang dikeluarkan pada 2016, umur purata wanita melahirkan anak pertama pada usia 27.6 tahun dan trend itu semakin meningkat setiap tahun.

Menurutnya, trend itu berlaku disebabkan kecenderungan pasangan memilih untuk berkahwin lambat dengan alasan ingin mengukuhkan ekonomi terlebih dahulu.

“Ia sekali gus akan memberi kesan kepada jumlah anak yang akan dilahirkan. Jika dibandingkan sebelum ini, ibu bapa cenderung untuk mempunyai anak lebih ramai sekitar empat ke lima orang berbanding sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 9:50am
d