mutakhir

Bantu 400 murid ke sekolah

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Johor memuji Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berterusan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat membantu golongan kurang berkemampuan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata syarikat TNB antara penyumbang terbesar di kalangan syarikat gergasi di Malaysia kepada kerajaan negeri Johor khususnya memulangkan kembali keuntungan kepada rakyat.

“Mereka memulangkan kembali keuntungan diraih kepada rakyat dengan cara sebegini termasuk program ‘Back To School’.

“Justeru itu, kita doakan semoga TNB sentiasa mencatatkan keuntungan demi kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan serta menyampaikan sumbangan program Back To School anjuran TNB di Dewan Muafakat Permas 2, Permas Jaya, Johor yang mendapat kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Penerima bantuan, Sulasmi Umar Johan, 43, berkata, dia bersyukur dipilih menerima sumbangan berkenaan yang dianggap bermakna.

“Sumbangan dihulurkan ini bermakna kerana saya hanya tukang sapu sampah dan perlu menyara anak yang masih bersekolah.

“Program sebegini harus dikekalkan kerana ia dilihat mampu memberi kebaikan kepada semua. Semoga TNB terus mendapat keuntungan dalam memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat yang sama, bukan saja di Johor tetapi di seluruh pelusuk negara,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Abdul Salam, 37, yang juga pekerja kilang pula berkata dia mewakili rakyat Johor mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada TNB kerana sudah meringankan beban yang dipikul dengan harapan program sebegini diteruskan.

Penerima lain yang juga ibu tunggal, Zaitun Mamat, 49, berkata dengan sumbangan yang diterima ia sedikit sebanyak membantu daripada segi persiapan persekolahan anaknya.

“Saya berharap agar bantuan ini kekal untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad berkata, program yang dianjurkan itu adalah CSR syarikat bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“TNB amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan ini dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak terutama kepada keluarga yang mempunyai ramai anak.

“Dalam program ini, semua 400 penerima yang juga kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun terdiri daripada berbilang bangsa menerima sepersalinan baju seragam, kasut, beg sekolah serta alat tulis bernilai RM200 seorang,” katanya.

Program Back To School yang dianjurkan TNB sejak 2013 itu sudah memberi manfaat kepada hampir 12,000 penerima daripada 800 buah sekolah di seluruh negara.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 10:04am
d