mutakhir

Tikam leher rakan enggan mabuk

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Sungai Petani: Hanya kerana menolak ajakan rakannya mengambil minuman keras bersama menyebabkan seorang lelaki warga Vietnam menerima tujuh jahitan di leher selepas diserang dengan pisau oleh suspek di kediaman asrama pekerja di Taman Perdana, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa pada mulanya melihat rakan senegaranya yang berusia 30-an mabuk bersama rakan lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, suspek mengajaknya minum bersama tetapi dia menolak.

Menurutnya, suspek terus bangun dan masuk ke dalam bilik sebelum keluar semula dengan membawa pisau.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri merayu suspek tidak menyerangnya, namun suspek tetap memaksanya minum bersama walaupun dia menolak dengan memberi alasan akan bekerja keesokan paginya.

“Dalam keadaan mabuk, suspek menyerang mangsa dengan pisau dan terkena pada lehernya menyebabkan mangsa berlari keluar meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Saifi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh pengawal keselamatan dan menerima tujuh jahitan.

“Polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Suspek direman bermula semalam (kelmarin) hingga 18 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 10:20am
d