mutakhir

Enam dah ditahan polis

Oleh Iskandar Shah Mohamed

ENAM lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kes samun keluarga ahli perniagaan di Seksyen 7, Shah Alam dengan taktik menyamar sebagai anggota polis dan menggari mangsa, Isnin lalu.

Semua suspek berusia antara 29 hingga lingkungan 30 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar Sungai Buloh dan Segambut, Kuala Lumpur bermula 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kejadian samun berkenaan.

"Tangkapan pertama di Kampung Paya Jaras membabitkan seorang lelaki yang disyaki terbabit secara terus dalam kes berkenaan.

"Ia kemudian diikuti penahanan empat lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia di Segambut yang dijalankan sehingga 4 pagi tadi," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kontinjen negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan ketika kejadian 4.50 pagi itu, mangsa iaitu bapa dan tiga anaknya berusia 20 hingga 50-an tidur di rumah berkenaan.

Tiga lelaki berpakaian biasa berusia 30-an mengetuk pintu dan mendakwa mahu menjalankan pemeriksaan dengan menggeledah rumah itu.

Mereka termasuk seorang yang dipercayai bersenjatakan pistol menggari empat beranak itu dan melarikan diri bersama Honda Insight milik mangsa selain komputer riba, barang kemas serta beberapa telefon bimbit.

Kata Mazlan, pihaknya menganggap kes itu berjaya diselesaikan namun sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan.

"Mereka dikenal pasti sebagai Rizal Zee Alias, 46, dan Mohd Saufi Hashim, 33. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan," katanya yang mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Berita berkaitan

Ingatkan 'polis'...

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 3:21pm
d