mutakhir

Insaflah Wan Asrie

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PENGANGGUR dipenjara dua tahun, enam bulan dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku salah cuba merompak seorang peniaga.

Pengakuan bersalah itu dibuat Wan Asrie Fakhres Wan Ahmad, 24, di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba merompak Muhamad Syawal Rahim, 18, di tepi jalan Kampung Tapang pada 10.30 malam, 22 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen tertuduh sama mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan merompak dua remaja lelaki berusia 15 tahun dengan pisau, bulan lalu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa merompak kunci motosikal, telefon bimbit, beg silang dan kad pengenalan milik dua remaja lelaki dengan pisau di sebuah bangunan depan Taman Tengku Anis pada 10.45 pagi, 17 November lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 3:40pm
d