mutakhir

Kita tunggu siasatan polis Hong Kong

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menunggu sehingga siasatan pihak berkuasa Hong Kong selesai sebelum mengekstradisi enam rakyat Malaysia yang ditahan berhubung penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong.

Katanya, PDRM bagaimanapun tidak boleh campur tangan berhubung siasatan dilakukan kerana ia boleh mengganggu siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa Hong Kong.

“Sehingga kini PDRM masih belum menerima maklumat lengkap daripada pihak berkuasa Hong Kong berhubung kes termasuk maklumat kesemua suspek terbabit.

“Untuk itu, PDRM bekerjasama dengan pejabat konsulat Malaysia di Hong Kong bagi mendapatkan perkembangan kes berkenaan.

“Proses mengekstradisi kesemua suspek juga memerlukan masa yang lama dan sekiranya siasatan pihak berkuasa Hong Kong selesai baru kami (PDRM) akan ambil alih siasatan mengikut Akta Langkah-langkah Khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Tabung Perihatin Pengaman di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia Tan Sri Norian Mai dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Pada kejadian Rabu lalu, enam rakyat Malaysia berusia 18 dan 28 tahun ditahan sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana disyaki cuba menyeludup masuk dadah dianggarkan bernilai RM2.1 juta ke negara itu.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 5:58pm
d