mutakhir

Putus tangan kiri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KONSTABEL polis berusia 25 tahun cedera parah selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah motosikal di Kilometer 1.4 Lebuhraya Kajang SILK, Kajang, kira-kira 7 malam hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, Alfian Nor Ali yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dalam perjalanan balik ke rumahnya di Bandar Baru Bangi selepas selesai bertugas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah motosikal ditunggang seorang penyelia berusia 47 tahun dari arah yang sama.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok penghadang jalan menyebabkan tangan kirinya putus dan patah tengkuk sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala penyelia terbabit hanya mengalami cedera ringan.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan tangan kiri mangsa terpaksa dipotong hingga paras bahu akibat kemalangan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 9:27pm
d