mutakhir

Trump melulu

Oleh AFP

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk membincangkan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Perbincangan itu diadakan atas permintaan lapan negara dan akan bermula pada jam 10 pagi (waktu tempatan) namun ia turut merangkumi agenda lain bererti isu berkenaan mungkin tidak dibangkitkan pada awalnya, kata Jepun, yang memegang jawatan presiden majlis terbabit.

Bolivia, Britain, Mesir, Perancis, Itali, Sweden and Uruguay meminta rundingan diadakan, selain meminta Setiausaha Agung Antonio Guterres membuat ucapan pada awalnya.

Susulan pengumuman rasmi Trump itu, Guterres berkata, status akhir Baitulmaqdis hanya boleh diselesaikan menerusi perbincangan langsung antara Israel dengan Palestin.

Guterres turut menegaskan dia selama ini tidak bersetuju sebarang tindakan unilateral selain menyatakan ‘tiada alternatif terhadap penyelesaian dua kerajaan.’

Duta Bolivia Sacha Sergio Llorenty Soliz menyelar tindakan Trump itu sebagai keputusan melulu dan berbahaya yang melanggar undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan.

“Ia bukan saja menggugat proses kedamaian, malah mengancam keamanan serta keselamatan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 10:29am
d