mutakhir

Tangguh tuntut ilmu

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Permatang Pauh: Berikutan keadaan pusat tahfiz Darul 'Ulum Al-Islamiyah Al-Banuriyyah (LILBANAT), Jalan Permatang Nibong, Kampung Pertama di sini, masih belum tersusun sejak dilanda banjir besar awal bulan lalu, seramai 37 pelajar perempuan terpaksa menangguhkan pembelajaran mereka buat sementara waktu dan diberi cuti hingga sekarang.

Mudir yang juga Pengerusi tahfiz berkenaan Kamarul Ariffin Ithnan, 43, berkata, pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun itu yang mengikuti subjek tahfiz, fardu ain dan tajwid dibenarkan pulang ke rumah selepas pusat tahfiz dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga merosakkan kemudahan pembelajaran termasuk asrama.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan perabot dan perkakasan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, tilam, kabinet dapur dan almari rosak.

"Angin kencang turut menyebabkan sebahagian bumbung loteng di asrama tercabut dan ia baru saja siap diganti manakala bumbung pejabat pengurusan bocor sejak pusat tahfiz itu beroperasi dua tahun lalu.

"Akibat banjir dan ribut, buku dan kitab turut rosak dengan nilai kerugian mencecah RM10,000.

"Justeru buat sementara waktu berikutan keadaan tahfiz masih belum tersusun dan berselerak, pelajar diarahkan bercuti sehingga keadaan pulih seperti sedia kala," katanya.

Kamarul Ariffin berkata, longkang turut tersumbat akibat sampah-sarap menyebabkan air tidak dapat mengalir ketika banjir berlaku.

Katanya, pusat tahfiz itu hanya memiliki tong sampah kecil dan jika tong itu sarat dengan sampah, pihaknya perlu membuang di tempat agak jauh.

"Kami memerlukan dana untuk menaik taraf surau sedia ada menjadi dua tingkat dan membina rumah tamu dengan kos RM350,000.

"Kemudahan itu diperlukan bagi penambahan pelajar untuk subjek pengajian Islam dan akademik, selain memerlukan gelanggang badminton dan sistem kawalan keselamatan seperti kamera litar tertutup serta membaiki motor pagar utama yang rosak," katanya.

Menurutnya, pihaknya memperoleh dana daripada yuran pelajar RM180 seorang sebulan, selain sumbangan orang ramai, syarikat korporat dan agensi kerajaan.

"Kami mengalu-alukan badan korporat atau individu menaja bil utiliti pusat tahfiz ini berikutan pernah mengalami tunggakan akibat kekurangan dana.

"Pada masa sama, saya berhasrat menyambung semula perkhidmatan katering yang pernah diusahakan bapa sejak 12 tahun lalu bagi menjana dana untuk pusat tahfiz ini," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan dana ke akaun Bank Islam 07-052-01-001316-4 atas nama Darul 'Ulum Al Banuriyyah atau menghubunginya talian 011-23619786.

Katanya, pihaknya bersyukur pusat tahfiz itu dipilih untuk majlis gotong-royong sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas Kembali Ke Sekolah dan berharap premis berkenaan akan lebih tersusun bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian dengan selesa.

Menurutnya, antara tugasan dalam gotong-royong itu termasuk memotong rumput, membersihkan longkang tersumbat, menyapu sampah, membuang perabot dan peralatan rosak serta menyusun semula barangan di pusat tahfiz berkenaan.

**************************

Sultan Selangor sempurna istiadat

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan istiadat menyembahkan air doa selamat di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan di sini, sempena sambutan ulang tahun Keputeraan baginda yang ke-72, Isnin depan.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 10:36am
d