mutakhir

Terus masuk hospital

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: “Walau rumah tidak dinaiki air, kami sekeluarga tetap berpindah, tapi bukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya ke Hospital Tumpat,” kata Roslina Hassan, 39, dari Kampung Chenderung Kubu, di sini.

Ibu tunggal itu berkata, dia terpaksa berpindah ke Hospital Tumpat sepanjang minggu lalu disebabkan anaknya, Muhammad Iman Mukmin Zulkifli, 2, menghidap penyakit paru-paru kronik dan sindrom Down.

Katanya, Muhammad Iman Mukmin bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa dan perlukan bekalan elektrik berterusan.

“Malangnya setiap kali banjir, bekalan elektrik di kawasan rumah kerap terputus. Disebabkan itu, saya terpaksa juga berpindah demi Iman yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Ketika banjir Jumaat lalu, pekarangan rumah dinaiki air kurang setengah meter dan tidak memasuki dalam rumah. Namun, kami berdua menghubungi ambulans untuk ke hospital.

“Saya tinggal dengan kakak (Faridah Hassan, 50) dan dia yang mengesyorkan supaya ke hospital kerana bimbang kesihatan anak terjejas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, Muhammad Iman Mukmin hanya boleh bernafas sendiri dalam tempoh sesingkat 15 minit saja jika tidak dibantu alat bantuan pernafasan.

Berikutan itu dalam apa situasi sekalipun, kesihatan anaknya itu diberi keutamaan.

“Empat hari kami tinggal di hospital. Walaupun tidak begitu selesa, saya lega kerana Iman lebih selamat di situ,” katanya.

Walaupun banjir surut, Roslina bimbang kemungkinan berlaku gelombang kedua yang lebih buruk daripada gelombang pertama namun dia tetap bersiap sedia terutama membabitkan keselamatan anaknya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 11:06am
d