mutakhir

'Terima kasih MP Malaysia'

Oleh Amir Abd Hamid

KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ditentang semua umat Islam global dan selepas solat Jumaat hari ini dunia muslim akan meluahkan kemarahan dan menentang keputusan itu.

Wakil Biro Politik Gerakan Hamas merangkap Ketua Hamas Diaspora Dr Maher Salah berkata, malah pihaknya turut dimaklumkan keputusan tragik itu sebenarnya dibantah hampir semua pemimpin dunia hingga di Eropah, Asia, Amerika Latin

Menurutnya, hanya minoriti kecil pemimpin negara yang menerima keputusan itu.

“Bagi rakyat Palestin pula, kami pasti melawan dan menentang keputusan ini supaya tidak dilaksanakan. Ini (Baitulmaqdis) adalah ibu negara Palestin yang akan terus menjadi milik Palestin, Arab dan muslim sedunia

“Ini adalah tempat suci buat umat Islam dan Kristian,” katanya.

Dr Maher berkata, pihaknya melihat akan ada gerakan intifada di seluruh Palestin disebabkan isu terbaru yang menyentuh Baitulmaqdis itu.

“Kami turut berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen Malaysia berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mewakili rakyat Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya keputusan Trump itu.

“Palestin dan perjuangan Palestin amat dekat di hati dan minda warga Malaysia. Kami harap Malaysia boleh mempengaruhi Arab khususnya mengetuai usaha politik dalam tahap yang berbeza untuk bangun membantah dan menggagalkan keputusan itu,” katanya selepas mengetuai kunjungan hormat delegasi Hamas, Palestin bertemu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee di Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perhubungan Islam dan Arab Izzat Risgq serta pengiringnya Osama Hamdan, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Imran, Ketua Hal Ehwal Politik PCOM Abdullah Waleed, Ahli Lembaga PCOM Jismi Johari dan ahli PCOM Abdullah Asmar.

Mereka meluangkan masa kira-kira setengah jam di Parlimen berbincang dengan Ronald mengenai keputusan kontroversi Trump.

Sementara itu, Ronald berkata sebagai Ahli Parlimen semuanya menyokong tindakan kerajaan dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri dan kenyataan akhbar dibuat Menteri Luar untuk menyeru Presiden Trump mengkaji semula keputusannya.

Ini kerana, katanya, keputusan itu jelas memberikan akibat yang negatif terhadap proses damai yang sedang diusahakan dan berjalan antara Israel dengan Palestin.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 12:08pm
d