mutakhir

Dua penganggur 'berasap' kerana rokok seludup

Oleh Iskandar Shah Mohamed

DUA sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, atas pertuduhan mengangkut dan membawa barang larangan import iaitu rokok seludup bernilai RM216,000 di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairie Sabarudin, 25, dan Muhammad Khalif Muhamad Shukor, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan bersama di depan Majistret Siti Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, dua penganggur itu didakwa mengangkut 135,000 paket rokok jenama Canyon dengan menggunakan sebuah lori yang mana barangan berkenaan dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Semua rokok putih berkenaan membabitkan cukai berjumlah RM1.5 juta.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 11.7, Lebuhraya ELITE arah utara, kira-kira jam 4 pagi, Isnin lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohd Ustar Abd Ghani yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM40,000 kerana perbuatan tertuduh dianggap serius dan membabitkan nilai rampasan yang tinggi.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela Mardhiyah Siraj bagaimanapun memohon pengurangan jaminan bagi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan tidak bersifat menghukum.

Siti Noor Adilla kemudian menetapkan jaminan RM6,000 seorang dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember ini.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 4:01pm
d