mutakhir

Bantah tindakan Trump [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

RIBUAN rakyat Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini, bagi membantah tindakan Presiden negara itu yang mahu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Mereka berarak ke kedutaan selepas selesai menunaikan solat Jumaat, kira-kira 2 petang.

Difahamkan perhimpunan aman itu disertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik seperti UMNO, PAS dan PKR.

Menerusi perhimpunan itu, satu memorandum menentang pengiktirafan Amerika Syarikat diserahkan kepada pihak kedutaan untuk disampaikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Dianggarkan lebih 3,000 peserta berhimpun di hadapan kedutaan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Razak.

Bagaimanapun, keadaan terkawal apabila Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta polis trafik mengawal peserta dan lalu lintas di sekitar kawasan terbabit.

Peserta mula bersurai pada 3.15 petang selepas menyerahkan memorandum kepada kedutaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang turut menyertai perhimpunan berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengutuk tindakan Amerika Syarikat.

Katanya, pihaknya tidak boleh menerima tindakan Amerika Syarikat yang mahu memindahkan kedutaan mereka di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

"Tidak kira dari parti mana, tidak kira perbezaan agama dan kaum, kami sebulat suara tanpa mengira perbezaan, membantah pengiktirafan Amerika Syarikat itu.

"Pengiktirafan Amerika Syarikat itu dianggap satu penindasan terhadap umat Islam di Palestin," katanya ketika berucap pada perhimpunan terbabit.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 5:01pm
d