mutakhir

Dua jawatan utama tidak dipertandingkan

Oleh Mohd Nasif Badruddin

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 (PAU2017) sebulat suara meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

"Di bawah Akta 5 Perlembagaan parti, usul dibawa Pemuda mengajak seluruh kekuatan, potensi ahli, penyokong UMNO dan komponen BN untuk meningkatkan solidariti bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Namun ada sedikit pindaan oleh Pemuda iaitu sejajar dengan Fasal 20 Perlembagaan UMNO pindaan para 5 dimasukkan perkataan berikut.

"Justeru atas semangat kebersamaan dan kesalingan dan bagi memastikan konsep ini dapat direalisasikan, adalah dengan menjadi ketetapan untuk diputuskan dalam sidang kali ini agar jawatan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang," katanya sebelum menangguhkan persidangan tengah hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, parti juga sudah mengambil ketetapan bahawa jawatan Naib Presiden diberikan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Ini adalah satu kaedah di mana kami memikirkan bahawa fokus adalah kepada PRU-14 dan tidak ada gerak kerja dalam parti bagi menghadapi pemilihan tahun hadapan," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Hishammuddin.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, tumpuan kini diberikan kepada PRU yang akan dihadapi dan ia difahami perwakilan yang bersidang pada tahun ini.

"Kita rasa lega hari ini walaupun usul kita tak terkandung di dalam ayat, secara demokratiknya perwakilan juga menyedari perkara yang sama. Semangat setiakawan, solidariti dan kesedaran bahawa tumpuan diberi bukan kepada jawatan dalam parti, tetapi kepada PRU," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 5:11pm
d