mutakhir

[UPDATE] Sorok RM1 juta dalam kotak kasut, peti besi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menemui wang tunai berjumlah hampir RM1 juta berserta barang kemas dalam kotak kasut dan peti besi di rumah pegawai polis yang direman bagi bantu siasatan kes rasuah hari ini.

Bekas Ketua Polis Daerah (KPD) berusia 59 tahun itu yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditahan 7.30 malam semalam sebelum direman selama lima hari bermula hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pegawai polis terbabit ditahan bersama isterinya berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun.

“Suspek ditangkap di pejabat SPRM Perak kira-kira 7.30 malam semalam.

“Daripada maklumat awal yang diperolehi, pegawai terbabit yang berpangkat Asisten Komisioner dipercayai menerima wang rasuah lebih kurang RM70,000 melalui akaun bank milik isterinya daripada seorang ahli perniagaan wanita.

“Turut ditahan untuk membantu siasatan adalah isterinya, seorang suri rumah berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurut sumber, ahli perniagaan itu yang disyaki mempunyai kepentingan dengan KPD terbabit dipercayai memberikan sejumlah wang untuk majlis perkahwinan anaknya pada Februari tahun ini.

Katanya, ahli perniagaan itu memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis berkenaan dengan dua transaksi iaitu RM20,000 dan RM50,000.

“Susulan tangkapan itu, satu penggeledahan dibuat di rumah pegawai polis berkenaan dan pasukan penyiasat menjumpai wang tunai berjumlah hampir RM1 juta berserta barang kemas dalam kotak kasut dan peti besi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009 bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Asisten Komisioner Polis direman

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 6:06pm
d