mutakhir

PPR bantu rakyat miliki rumah

Oleh Hamizah Badiran

Petaling Jaya: Kemampuan kewangan menjadi faktor penting untuk memiliki sebuah rumah, namun bagi mereka yang belum berkemampuan, ‘memiliki rumah sendiri’ selalunya tidak dimasukkan dalam senarai perkara yang diberi keutamaan.

Seperti Mohd Nizam Ismail, 38, hasratnya untuk mempunyai kediaman sendiri buat keluarga tercinta hanya mampu dicapai selepas usia perkahwinannya dengan isteri Noorazfarizan Shaharuddin, 40, mencecah angka 12 tahun.

“Sepanjang tempoh itu, kami hanya menyewa rumah flat di Puchong Perdana. Alhamdulillah, dua tahun lalu kami sekeluarga pindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 ini untuk memulakan kehidupan di tempat dan suasana baru.

“Rumah ini dibeli secara tunai pada harga RM35,000 dengan menggunakan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pengeluaran membeli rumah, dan kami bersyukur kerana tidak perlu menanggung hutang pinjaman bank.

“Saya sebagai suami dan ketua keluarga kini boleh menarik nafas lega kerana sudah membelikan sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama isteri dan empat anak tersayang walaupun tidak sebesar mana,” katanya yang ditemui di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Menurut pemandu teksi Airport Limo Malaysia Sdn Bhd (ALM) itu, PPR Lembah Subang 2 yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana amat dihargai.

Katanya, kemudahan di situ termasuk aspek pengurusan lif dan pelupusan sampah serba lengkap serta bersih berbanding di PPR lain, setakat ini.

“Masyarakatnya juga hidup dalam keadaan berbilang kaum dan harmoni di samping terdapat pelbagai aktiviti kemasyarakatan sering dijalankan di situ,” katanya.

Seorang lagi pembeli PPR Lembah Subang 2, Mohd Faizal Mohd Fauzi, 28, berkata dia lega dan gembira kerana segala urusan membabitkan pembelian rumah itu berjalan lancar selepas lebih setahun memohon.

“Seperti orang lain yang mahu memiliki rumah sendiri, saya juga berkeinginan begitu dan Alhamdulillah kini sudah setahun saya dan isteri menetap di sini.

“Walaupun bukan rumah banglo atau pangsapuri mewah, saya tetap bersyukur kerana diberikan rezeki ini yang bersesuaian dengan kemampuan pada ketika ini,” katanya yang juga seorang kakitangan awam.

Mohd Faizal juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan khususnya KPKT yang menyediakan perumahan itu kepada rakyat kelas pertengahan dan golongan berpendapatan rendah atau B40 yang memerlukan anjakan dalam kehidupan dan pertumbuhan sosial serta ekonomi.

Bagi ibu tunggal, Diwilah Shiroz, 45, walaupun dia hanya mampu untuk menyewa rumah flet di situ menerusi Skim Sewa untuk Beli (RTO) buat masa ini, namun tetap bersyukur dan seronok kerana mempunyai tempat berteduh buat diri serta anaknya Humaira Johar, 19.

“Setiap bulan saya hanya perlu membayar RM255 kepada KPKT dan jumlah itu sangat berpatutan berbanding harga sewa rumah lain.

“Sebagai seorang tukang masak sepenuh masa dan mengambil tempahan kuih-muih pada waktu lapang, pendapatan saya untuk sebulan kira-kira RM1,500 sahaja.

“Justeru, ketika saya tahu permohonan diluluskan oleh pihak KPKT, saya amat gembira dan bersyukur,” katanya.

Sementara itu, PPR Lembah Subang 2 mengandungi 1,580 unit rumah (lima blok) dengan kemudahan lif, pejabat pengurusan, surau, dewan serbaguna, kedai, rumah sampah, padang permainan, dan tadika.

Setiap unit berkeluasan 700 kaki persegi termasuk unit khusus bagi orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai tiga bilik serta dua bilik air.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 2:46am
d