mutakhir

Sanggup lari telanjang

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Pokok Sena: Seorang lelaki sanggup menanggalkan kain pelikat dan lari dalam keadaan berbogel bagi mengelak ditangkap polis dalam serbuan di ‘port’ dadah di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Taqwa, Mukim Derang, dekat sini, kelmarin.

Dia bagaimanapun berjaya ditahan selepas 10 minit menyorok di kawasan paya, kira-kira 300 meter dari port berkenaan.

Dalam operasi sama, seorang ahli jawatankuasa masjid turut ditahan kerana positif dadah selepas gagal memecut motosikalnya untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Lelaki berusia 50-an itu berjaya ditahan selepas dikejar pihak berkuasa dan dia turut mengaku ‘orang kuat’ sebuah masjid di kampung itu selain bekerja sebagai tukang urut batin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi itu turut disertai pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar bersama sepasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar/Pokok Sena.

Katanya, operasi hasil maklumat awal itu bermula bermula kira-kira jam 6 pagi dan pihaknya berjaya menahan 36 lelaki di port itu.

“Pemeriksaan badan tidak menjumpai apa-apa barang salah dan semua mereka yang disyaki penagih dadah dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki lain dan menjumpai satu peket plastik kecil dalam genggaman tangan kanannya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Rozi berkata, port dadah itu disyaki baru tiga ke empat bulan beroperasi dan kebanyakan penagih yang ditahan dari luar kampung itu.

“Semua 37 yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an dengan 32 daripadanya didapati positif mengambil dadah hasil ujian saringan air kencing. Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 dan diserahkan kepada AADK Kota Setar.

“Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar,” katanya.

Beliau berkata, kawasan port berkenaan dipenuhi sampah sarap seperti plastik kecil dan keratan penyedut minuman serta picagari dipercayai digunakan penagih.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 3:01am
d