mutakhir

Kapcai limosin

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Temerloh: Kereta limosin sudah biasa didengari namun motosikal Honda Cub C70 limosin atau lebih dikenali sebagai kapcai limosin kedengaran unik apatah lagi mereka yang memandang.

Inovasi kreatif ciptaan anak tempatan dari Kampung Bolok, Lanchang itu dilengkapi sistem monitor, kamera kecil di bahagian depan dan belakang, penggera selain dua ekzos sentiasa men jadi tarikan pengunjung pada setiap pameran motosikal.

Menurut Dzulkaranaen Adnan, 43, idea menghasilkan kapcai limosin warna hijau itu terhasil selepas melihat ciptaan sama di YouTube.

“Selepas kali pertama melihat di YouTube, saya tergerak hati membuat ciptaan serupa tetapi menggunakan kemahiran dan kreativiti sendiri.

“Saya mencabar keupayaan diri menyiapkannya demi minat pada kenderaan sedemikian meskipun tahu ia bukan perkara mudah,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Retro 2017 di Dataran Temerloh.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan motosikal itu dengan kos perbelanjaan RM2,000.

Dia yang bekerja sebagai operator jentera berat dan mekanik sambilan memberitahu, semua kerja membuat kapcai limosin itu dilakukan di bengkel kecil berhampiran rumahnya dengan hanya bersandarkan minat membaiki motosikal dan kemahiran mengimpal.

“Kapcai limosin ini diperbuat daripada dua motosikal Honda Cub C70 yang dibeli daripada orang kampung.

“Enjinnya pula kacukan Honda Cub C70 dan EX5 Dream manakala kelajuannya boleh mencecah hingga 120 kilometer sejam,” katanya.

Menurutnya, kenderaan berukuran dua meter itu mampu menampung berat penunggang dan pembonceng sehingga 140 kilogram.

“Bagaimanapun, saya tidak menggunakannya di atas jalan raya sebaliknya ia dibuat untuk menyertai pameran saja.

“Setakat ini, paling jauh kapcai limosin ini pernah dibawa ke Johor untuk tujuan pameran di sana,” katanya.

Dzulkaranaen berkata, dia tidak menjual kapcai limosin itu kerana ia mempunyai nilai sentimental meskipun ada pihak menawar harga RM15,000 untuk membelinya.

“Namun, saya sedia menerima tempahan membuatnya bagi mereka yang berminat,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 3:04am
d