mutakhir

Tingkat kesedaran bahaya rasuah

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KIRA-KIRA 600 peserta menyertai aktiviti larian dan kayuhan basikal pada Program Larian dan Kayuhan Gerah Hari Antirasuah Antarabangsa (LANGKAH) 2017 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula dari Presint 2 di Putrajaya.

Aktiviti yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu adalah satu daripada aktiviti sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2017 peringkat kebangsaan.

Peserta yang menyertai larian menyempurnakan aktiviti itu sejauh lima kilometer, manakala kayuhan basikal sejauh 10 kilometer iaitu di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Menurut kenyataan SPRM, sambutan HARA 2017 bagi peringkat kebangsaan kali ini adalah bertemakan 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' serta memberi fokus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah selain pendedahan berhubung HARA secara keseluruhannya.

"Sambutan ini adalah rentetan daripada pengisytiharan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2003 yang memilih 9 Disember setiap tahun sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa.

"Ia juga disambut sebagai usaha yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terutama kesungguhan SPRM dalam membanteras rasuah secara menyeluruh," katanya, hari ini.

Pada acara berkenaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyempurnakan pelepasan peserta larian manakala, beliau turut menyertai aktiviti kayuhan basikal.

Menerusi kenyataan SPRM, sambutan HARA adalah suatu platform yang berperanan mendekatkan masyarakat dengan SPRM dalam memperoleh sokongan mereka selaras dengan dasar suruhanjaya itu iaitu 'Mesra Rakyat Digeruni Perasuah' bagi membanteras gejala rasuah dalam negara.

Pada masa sama, sambutan HARA kali ini juga diharap akan menjadi wadah dan peluang kepada masyarakat untuk mengenali SPRM dengan lebih rapat serta mendapatkan penjelasan berhubung isu rasuah.

Sementara itu, penyertaan bagi Program LANGKAH 2017 yang diadakan hari ini terbuka kepada Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) berdaftar serta orang awam.

Pelbagai aktiviti dan permainan menarik juga disediakan kepada kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa ke sambutan ini.

Ruang Pameran GERAH dan SPRM juga disediakan kepada orang awam yang berminat untuk mendaftar sebagai Sahabat GERAH.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 10:59am
d