mutakhir

Tengkorak, serpihan tulang dalam semak

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TENGKORAK manusia dan serpihan tulang ditemui dalam kawasan semak berhampiran restoran di Kampung Senawang, Seremban, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tengkorak itu ditemui lelaki sedang melakukan kerja pembersihan di belakang restoran pada 2.30 petang.

Katanya, pihaknya yang menerima panggilan kejadian mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota meneruskan pencarian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9). Pencarian berlanjutan lebih sejam menemui serpihan tulang dan rahang manusia di lokasi berhampiran," katanya.

Beliau berkata, hasil temubual bersama pengawal keselamatan berdekatan memaklumkan tidak terhidu sebarang bau busuk.

"Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata. Pakar perubatan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini mengesahkan pemilik tengkorak itu meninggal dunia sebulan lalu," katanya.

Sulizmie Affendy berkata, berdasarkan bentuk belakang kepala tengkorak, ia dipercayai milik seorang lelaki.

"Buat masa ini tengkorak, tulang dan rahang ditemui dibawa ke Jabatan Forensik HTJ untuk dianalisa. Kes pada masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 12:53pm
d