mutakhir

TUDM buat penilaian dulu

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan penilaian untuk menentukan empat pesawat rondaan maritim (MPA) bersesuaian bagi mempertingkatkan aset pasukan itu pada masa hadapan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kerajaan sudah meluluskan peruntukan empat pesawat jenis MPA pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.

“TUDM kini dalam proses penilaian untuk memilih pesawat jenis MPA yang bersesuaian bagi memastikan ia dapat membantu meningkatkan keupayaan pasukan.

“Proses penilaian itu bagi memperkuat dan memperkasakan aset pasukan sebagai persediaan menghadapi ancaman lebih besar pada masa kini dan hadapan,” katanya selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia Siri 57/2017 di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU) di Ipoh, hari ini.

Pada Istiadat itu, Affendi menyampaikan anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan kepada Azlan Mohd Kalimuddin; Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik, Shanon Lourdes Sagaran dan Perajurit Muda Penembak Terbaik,Wan Afiq Muqri Wan Rahmat.

Seramai 285 pelatih berjaya menamatkan latihan Perajurit Muda (PJM) TUDM Siri 57/2017 yang diadakan selama 22 minggu bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini.

Affendi berkata, TUDM juga sedang melihat semula aset lain yang dirasakan relevan seperti Pesawat Tanpa Pemandu (UAV).

“Keperluan dan pembangunan UAV ini dapat menentukan keupayaan pasukan setaraf dengan keupayaan negara serantau,” katanya.

Sementara itu, Affendi berkata, TUDM juga akan memastikan pelatih mempunyai kelayakan minimum diploma bagi memohon kemasukan ke ATU.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi TUDM untuk berada pada tahap pencapaian tinggi dan menentukan mereka (pelatih) bersedia untuk mengoperasikan senjata dan peralatan canggih,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 4:48pm
d