mutakhir

Lagi suspek kes bunuh pelajar direman

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUA lagi suspek bagi kes bunuh pelajar tingkatan empat yang ditahan semalam, direman tujuh hari sehingga 15 Disember ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 32 dan 38 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, kira-kira 10 pagi, menaiki van dan trak.

Kedua-dua suspek dilihat memakai baju warna berbeza iaitu ungu dan oren.

Semalam, suspek pertama berusia 35 tahun direman tujuh hari hingga 14 Disember ini, selepas menjadi suspek pertama ditahan di Kampung Segenting Baru, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pelajar berusia 16 tahun, M Arunasalam dirawat di zon merah Hospital Melaka, disahkan meninggal dunia selepas diberi bantuan pernafasan selama 30 minit.

Mangsa dihantar orang awam ke Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Melaka selepas didakwa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hentian bas di Ayer Keroh, 4 Disember lalu.

Susulan itu, polis mengeluarkan kenyataan memburu tiga suspek dipercayai ada kaitan dengan video yang tular di Facebook, yang disahkan berlaku di Krubong.

Berita berkaitan:

Suspek kes bunuh M Arunasalam ditahan

Tiga video saling berkait

Ada kesan lebam, birat

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 5:33pm
d