mutakhir

Setuju tubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara seperti yang disarankan wakil Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu diterima Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang prihatin dengan nasib rakyat.

"Timbalan Perdana Menteri yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup sudah mengarahkan KPDNKK supaya memberi tumpuan kepada semua faktor yang menyumbang kepada inflasi.

"Aspek perumahan, pengangkutan, utiliti serta makanan dan minuman adalah fokus utama dalam perbincangan majlis berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan, hari ini.

Pada perhimpunan berkenaan sebelum ini, beberapa perwakilan tampil membangkitkan isu harga barang dan kos sara hidup sebagai perkara penting yang perlu diberi penjelasan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, KPDNKK, juga akan meminda Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi menambah beberapa elemen untuk memperkukuhkan lagi akta itu dalam usaha kerajaan memerangi pihak yang sewenangnya menaikkan harga.

Sehubungan itu, kata beliau, Perdana Menteri turut bersetuju harga barang-barang keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras dan gas memasak (LPG) tidak akan dinaikan.

Katanya, kerajaan masih mampu untuk memberi subsidi barangan terbabit dan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun untuk membantu rakyat.

"Untuk barangan basah seperti ayam, telur, sayur, daging dan sebagainya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi seperti Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus memerangi orang tengah yang tamak.

"Selain itu, kementerian terbabit juga akan melaksanakan program Stok Bekalan Makanan, program Jualan Ikan Segar Beku (Q-Fish), program jualan ikan segar, program pengukuhan bekalan ladang kontrak serta pertanian bandar bagi menjamin bekalan makanan yang konsisten dengan harga kompetitif sekaligus mengurangkan beban rakyat.

"Manakala untuk barangan harian dapur seperti bawang, cili, ubi kentang, kekacang dan rempah ratus pula, KPDNKK melalui agensi akan membantu rakyat menerusi pembukaan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 6:17pm
d