mutakhir

Wang kemenangan untuk tunai umrah

Oleh Mary Victoria Dass

PEMENANG utama cabutan bertuah bersempena ulang tahun ke-20 Angsana Mall, di Tampoi, Johor Bahru, Mohd Khairul Sadiman, 25, bercadang menggunakan wang tunai RM20,000 yang dimenangi untuk menunaikan umrah bersama ibu bapanya.

Pembantu peniaga itu berkata, dia amat bersyukur kerana bukan sahaja memenangi hadiah utama wang tunai malah menang hadiah tempat pertama iaitu motosikal Scomadi TL125; hadiah keempat, televisyen 40 inci; hadiah kesembilan percutian ke Kuala Lumpur serta hadiah saguhati, baucar membeli-belah bernilai RM200.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan memenangi kesemua hadiah berkenaan bernilai keseluruhan RM50,000 (termasuk wang tunai) berikutan sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang peraduan dianjurkan pengurusan pusat membeli-belah itu.

Katanya, kesemua borang peraduan turut diisi oleh ayah, Sadiman Murad, 67, yang hampir setiap hari berbelanja di Angsana Mall kerana mengusahakan perniagaan mee wantan di medan selera di situ sejak 20 tahun lalu.

"Ayah pernah menyatakan hajat untuk pergi menunaikan umrah bersama saya serta ibu, Norimah Husin, 66 sekiranya kami menang hadiah utama cabutan bertuah ini.

"Pastinya saya akan menyerahkan wang ini kepadanya bagi melakukan urusan menunaikan umrah pada tahun depan.

"Saya anggap ini adalah rezeki kami sekeluarga dan benar-benar bersyukur kepada Ilahi," katanya.

Hadiah kemenangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Uda, Datuk Ahmad Abu Bakar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset Uda, Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed.

Pada program berkenaan, Kumpulan Uda turut menyerahkan sumbangan RM60,000 kepada enam badan kebajikan di daerah ini menerusi Uda Outreach Program-Enriching Lives.

Peraduan cabutan bertuah itu diadakan mulai 9 Mei hingga 30 September lalu menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM100,000.

Sementara itu, Ahmad berkata, majlis berkenaan bertujuan menghargai pengunjung pusat membeli-belah itu.

"Ia juga bagi menggalakkan pelanggan terus berbelanja di situ selain menjadikan Angsana Mall sebagai destinasi membeli-belah yang utama di negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 7:15pm
d