mutakhir

Ahli perlu berani pertahan pemimpin

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: “(Apabila) pemimpin kita diasak, keberanian mempertahankan pemimpin kita adalah pedangnya, jangan pula kita yang menghunusnya,” tegas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berucap ketika sesi penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017), semalam menggariskan empat tunjang untuk Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pedang keberanian, perisai kesetiaan, bahtera satria dan strategi perang.

“Tunjang pertama adalah pedang keberanian. Keberanian dalam politik hari ini bukan diukur pada panjangnya pedang tetapi bagaimana cara kita menghunusnya.

“Janganlah kita takut kepada apapun kekuatan lawan dan percayalah kepada pedang yang kita miliki,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Katanya, ahli UMNO tidak sepatutnya menjadi petualang dalam parti itu jika ingin BN menang besar dalam PRU-14 kali ini.

“Dalam peperangan politik apabila parti kita diasak, keberanianlah yang menjadi pedangnya.

“Jangan pula antara kita yang menjadi pedang menikam parti sendiri. Pemimpin kita diasak jangan pula kita yang menghunus pedangnya,” katanya.

Menurutnya, begitu juga apabila bangsa dan agama diasak maka keberanian serta jihad untuk berada di barisan depan adalah pedangnya.

“Tahniah kepada Pemuda kerana berani anjur protes pertahan Baitulmaqdis.

“Wanita akan mengadakan solat hajat untuk mendoakan keselamatan dan keamanan di Baitulmaqdis sebaik semua perwakilan pulang ke negeri masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 4:45am
d